Penghidap diabetes berisiko 
alami masalah buah pinggang

KUALA LUMPUR – Penghidap diabetes atau kencing manis di negara ini berisiko untuk mengalami masalah buah pinggang. Ini terbu­k­ti apabila statistik menunjukkan 61 peratus pesakit baharu merupakan penyumbang tertinggi kepada pe­nyakit buah pinggang.

DR. GHAZALI AHMAD menerangkan mengenai kemudahan dialisis yang disediakan di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Ghazali Ahmad berkata, jumlah pesakit baharu buah pinggang yang perlu menjalani rawatan dialisis meningkat lebih 6,000 orang setiap tahun sejak lima tahun kebelaka­ngan ini, manakala pada tahun 2014 angka itu mencecah 7,055 orang.

“Daripada 7,055 pesakit yang didaftarkan tersebut, 61 peratus adalah disebabkan diabetes, 18 pera­tus berpunca daripada tekanan darah tinggi, tiga peratus disebabkan radang buah pinggang, satu peratus lagi sama ada polisistik, batu karang dan lain-lain, manakala 15 peratus tidak diketahui punca­nya.

“Mengikut pecahan umur, kumpulan pesakit yang paling tinggi peningkatannya adalah daripada mereka yang berumur 55 tahun hingga 60 tahun ke atas,” katanya ketika ditemui di HKL baru-baru ini.

Berdasarkan aliran tersebut, beliau berkata pihaknya tidak menjangkakan penurunan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dialisis dalam tempoh terdekat di­sebabkan beberapa faktor antaranya peningkatan peratus rakyat daripada golongan warga emas kerana peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia secara amnya.

“Selain itu, punca lain adalah peningkatan insiden penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti disebabkan amalan gaya hidup serta cara pemakanan rak­yat Malaysia yang kurang sihat,” katanya.

Sementara itu jelas Dr. Ghazali, pertambahan bilangan pesakit yang ketara akan menyebabkan berlaku kesesakan di hospital dan klinik awam ekoran kos rawatan mencuci darah atau hemodialisis yang tinggi di sektor swasta.

Tambahnya, melalui satu kajian keberkesanan kos yang dijalankan 10 tahun lalu, kerajaan sudah menanggung kos kira-kira RM33,000 setahun untuk setiap pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di hospital awam termasuk kos mesin cuci darah, alatan guna lupus, suntikan dan ubat-ubatan dengan purata melebihi RM200 setiap sesi rawatan.

“Sekarang jumlah itu pasti meningkat selaras dengan kenaikan kos perkhidmatan dan utiliti lain termasuk peralatan, mesin, sistem rawatan, air osmosis berbalik (RO), emolumen kakitangan perubatan dan pengendalian sisa klinikal.

“Untuk rawatan hemodialisis, kita mempunyai 120 pesakit kronik dan lebih 50 pesakit di bahagian sub akut (rawatan sementara) manakala lebih 350 pesakit buah pinggang lain menjalankan rawatan Peritoneal Dialisis secara ambulatori yang dilakukan di rumah,” ujarnya.

Katanya, kaedah rawatan secara Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis atau CAPD turut digunapakai di hospital awam dengan kos yang lebih murah berbanding hemodialisis dan boleh dijalankan sendiri oleh pesakit di rumah.

“Untuk rawatan CAPD, pesakit tidak perlu ke hospital untuk menjalani rawatan dialisis. Bekalan peralatan guna lupus untuk CAPD akan dihantar ke kediaman masing-ma­sing setiap bulan oleh syarikat pembekal. Kaedah ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos pengangkutan ke hospital serta dapat mengurangkan kesesakan di hospital awam.

“Walaupun mereka perlu me­lakukan CAPD empat kali setiap hari, tempoh rawatan hanya sete­ngah jam hingga 40 minit setiap sesi. Di hospital swasta mereka tidak mengamalkan kaedah CAPD kerana ia kurang menjana keuntungan memandangkan pesakit tidak perlu datang ke premis mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.